KUALA LUMPUR 2 Jun – Medi Lifestyle Ltd yang sebelum ini dikenali sebagai IEV Holdings Ltd berhasrat untuk memperluaskan perniagaannya ke dalam perkhidmatan kesihatan peribadi dalam tempoh dua tahun lagi.

Ini akan melengkapkan segmen perniagaan pusat rawatan selepas bersalin, kiropraktik dan fisioterapi, TCM, pengedaran produk estetika dan kesihatan syarikat, menurut Medi Lifestyle.

“Prospek penjagaan kesihatan pasca pandemik akan menjadi perkhidmatan yang paling dicari susulan pengalaman penduduk sejak 1.5 tahun yang lalu berada di bawah kawalan sekatan pergerakan.

“Kebanyakan penduduk akan meletakkan penjagaan kesihatan sebagai keutamaan di dalam fikiran dan keputusan mereka,” jelas syarikat itu kepada DagangNews.com.

Menurut satu kenyataan berbeza, Medi Lifestyle pada awalnya merupakan pemain industri kejuruteraan bersepadu untuk menyokong sektor minyak dan gas terutama di rantau Asia Pasifik.

Namun, pada Oktober 2019, syarikat telah mempelbagaikan perniagaannya ke sektor kesihatan, penjagaan selepas bersalin dan penjagaan kesejahteraan.

Pada 25 November 2020, syarikat telah melupuskan sepenuhnya perniagaan kejuruteraan dan seterusnya menukarkan nama kepada Medi Lifestyle.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Low Koon Poh tidak menafikan bahawa lokasi operasi utama Medi Lifestyle di Malaysia dan Singapura turut terjejas dengan sekatan pergerakan yang berterusan susulan peningkatan kes COVID- 19.

“Walaupun keadaan tidak menentu, kami merasakan bahawa masih wujudnya peluang yang boleh kami terokai.

“Oleh yang demikian, kami terus berusaha malah telahpun mencapai hasil yang membanggakan dan sebagai sebuah syarikat, kami dalam perjalanan untuk menjadi sebuah syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang serba lengkap di rantau ini,” ujar beliau.

Memasuki tahun ini dan menjelang 2022, Medi Lifestyle bakal menubuhkan pusat perkhidmatan selepas bersalin yang pertama dilancarkan di Singapura pada suku terakhir 2021 (4Q21).

Jelas syarikat berkenaan, permintaan untuk perkhidmatan selepas bersalin telah meningkat secara mendadak kerana ibu bapa semakin mementingkan penjagaan kaedah moden berbanding tradisional susulan penularan COVID-19.

Di Malaysia, pusat kedua akan tersedia dengan 50 bilik yang dilengkapi dengan ruang asuhan, bilik inkubasi, perkhidmatan kiropraktik dan fisioterapi serta disasarkan beroperasi pada 2Q21, ujar Medi Lifestyle lanjut.

Appeared in DagangNews.com on 2 June 2021.

Medi Lifestyle miliki perkhidmatan kesihatan peribadi 2 tahun lagi

Medi Lifestyle Ltd yang sebelum ini dikenali sebagai IEV Holdings Ltd berhasrat untuk memperluaskan perniagaannya ke dalam perkhidmatan kesihatan peribadi dalam tempoh…Continue reading